DOA BUAT MU AHLI GHAZZAH

YA ALLAH YA RAHMAN YA RAHIM...

Forum INTIS - Merintis Jalan Sunnah Headline Animator

Wednesday, January 13, 2010

KENALI AHLI BID'AH DAN AJARAN SESAT- kajian oleh Abu umair

1) Tidak menyenangi ilmu hadis. Ia adalah ciri terpenting mana-mana kumpulan ajaran sesat dan ahli bidaah. Mereka amat fobia dengan firman Allah, dan sabda Nabi Sallallahu Alahi Wasallam. Manakan tidak, fakta dari dua sumber inilah yang akan membongkar temberang dan pembohongan ahli bidaah. Mereka akan kelu dan kaku jika cuba berhujah di hadapan kitab-kitab hadis.

Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H) meriwayatkan bahawa Abu Nasr bin Sallam Al-Faqih berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi kumpulan yang menyeleweng dan paling dibenci oleh mereka selain daripada mendengar hadis dan meriwayatkannya dengan sanad”.

Al-Hakim (wafat: 404H) dalam kitab Makrifah Ulum al-Hadis menceritakan bahawa Syeikh Abu Bakr Ahmad bin Ishaq Al-Faqih berdebat dengan seorang lelaki. Apabila Syeikh menyebut, “Telah meriwayatkan kepada kami oleh si Fulan…”, lantas lelaki tersebut berkata, “Tinggalkan sahaja periwayatan. Sampai bila masih mahu menggunakan periwayatan?”. Syeikh tersebut kemudian menghalau lelaki tersebut dari rumahnya.

2) Memusuhi dan memperlekahkan ahli hadis. Ahli bidaah dan sesat bukan setakat membenci ilmu hadis, malah tidak menyenangi ulama yang tutur katanya dihiasi “Firman Allah, dan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”. Kerana ahli hadis lah benteng kepada kemurnian ajaran Islam.

Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H) berkata, “Tanda ahli bidaah ialah mencela terhadap ahli hadis”.

Ahmad bin Sinan Al-Qattan berkata, “Tidak ada ahli bidaah di atas dunia ini kecuali dia membenci ahli hadis. Apabila seorang lelaki membuat bidaah, akan tercabut dari hatinya kemanisan hadis”.

Al-Hakim (wafat: 404H) menyebut di dalam kitab Makrifah Ulum Al-Hadis, “Beginilah kami mmengenali samada ketika perjalanan atau ketika menetap, bahawa setiap orang yang dinisbahkan kepada menyeleweng dan bidaah akan memandang hina terhadap ‘Thoifah Mansurah’ (Ahli Sunnah)”.

Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H) menegaskan, “Tanda paling jelas kumpulan ahli bidaah ialah terlalu membenci terhadap mereka yang membawa hadis-hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, serta mereka memperlekehkan golongan ini”.

3) Melabelkan Ahli Sunnah dengan pelbagai gelaran. Antara gelaran-gelaran yang sering bermain di bibir ahli bidaah ialah menuduh Ahli Sunnah sebagai ‘Musyabbihah’.

Ishaq bin Rahuyah (wafat: 238H) berkata: “Tanda Jahm dan pengikut-pengikut mereka ialah: mereka mendakwa ke atas Ahli Sunnah Wal Jamaah serta celaan bohong bahawa mereka (Ahli Sunnah) adalah musyabbihah”.

Kata Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H): “Tanda Jahmiyyah ialah mereka menamakan Ahli Sunnah sebagai Musyabbihah”.

Selain gelaran Musyabbihah, ahli bidaah sering menggelarkan ahli sunnah sebagai ‘Hasyawiyyah’ dan ‘Zahiriyyah’ sebagaimana disebut oleh Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H).

Malah Imam Bukhari sendiri pernah dilabelkan sebagai ‘Hasyawiyyah’ oleh ahli bidaah. Di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala, Imam Zahabi menyebut bahawa Al-Shahib (wafat: 385) seorang berfahaman Syiah dan Muktazilah disebut kepadanya nama Imam Bukhari. Lalu beliau berkata, “Siapa Bukhari? Hasyawi yang tidak boleh dirujuk kepadanya”.

Demikian perangai ahli bidaah dari dahulu sampai sekarang, melabelkan ahli sunnah dengan pelbagai gelaran.

4) Melampau dalam kepercayaan. Antara ciri-ciri ajaran yang menyeleweng ialah melampau dalam satu-satu kepercayaan. Sikap melampau sangat ditegah dalam Al-Quran dan Sunnah. Sesatnya Kristian adalah kerana sikap melampau mereka terhadap Nabi Isa Alaihissalam. Nabi Isa, hamba Allah yang bertaraf Rasul diangkat mereka sebagai Tuhan yang disembah.

Sikap seperti inilah yang ada pada banyak ajaran-ajaran songsang. Mengangkat guru-guru dan syeikh-syeikh mereka melebihi had yang sebenar. Menganggap guru mereka mengetahui apa yang tersembunyi dalam dada anak-anak muridnya. Ada yang percaya guru mereka boleh bertolak ansur dengan Tuhan dalam hal-hal ajal dan maut. Paling aneh lagi melucukan, setiap kumpulan ini menganggap guru mereka lah wali paling tinggi tarafnya di zamannya. Pelbagai gelaran diberikan, Sahibuzzaman, Sultan Awliya, Wakil Tuhan, dan macam-macam.

5) Guru yang mengaku bahawa dia Wali Allah. Ada sesetengah ajaran kebiasaannya ajaran tarekat, gurunya secara terang-terangan mengaku bahawa dia adalah Wali Allah. Yang lebih hebat, jika ditambah lagi dengan kelebihan-kelebihan lain seperti dilantik sebagai Wakil Allah, atau Orang Allah.

Kalau kita tahu apa makna wali yang sebenar, nescaya kita tidak akan mempercayai individu yang mengaku bahawa dia wali. Wali adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah Taala. Orang yang benar-benar bertaqwa tidak akan sekali-kali mengangkat dirinya dan mengaku bahawa dia paling bertaqwa. Mengaku wali bererti mengaku ketinggian taqwanya kepada Allah.

Allah berfirman, maksudnya:

“Maka jangan kamu memuji diri kamu sendiri, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertaqwa”. (Al-Najm: 32)

6) Berhujah menggunakan mimpi guru. Oleh kerana ajaran Quran dan Sunnah tidak mungkin memihak kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat, mereka terpaksa mencari helah lain bagi mengaburi mata para pengikut. Antaranya berhujah dengan mimpi.

Berhujah dengan mimpi tanpa merujuk kepada syariat menjadi sebab kesesatan. Abdul Aziz bin Nashir Al-Jalil berkata, “Hendaklah bersikap jaga-jaga dengan permainan syaitan terhadap manusia dalam mimpi waktu tidur. Betapa ramai individu malahan kumpulan menjadi sesat dengan sebab mimpi”.

Hendaklah kita meyakini bahawa syariat Islam sudah sempurna dan lengkap. Tidak berhajat kepada penambahan melalui mimpi mana-mana wali atau wakil Tuhan. Malahan, seluruh ulama bersepakat bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum-hakam.

7) Menganggap guru mereka tidak melakukan dosa. Atau dengan kata lain guru mereka maksum, seperti para Nabi.

Lihat bagaimana Syiah Rafidhah mempercayai bahawa imam-imam mereka yang 12 orang adalah manusia maksum, tidak melakukan dosa. Kepercayaan seperti ini menunjukkan kesesatan mereka.

Begitu juga sesetengah ajaran tarekat yang menyifatkan guru mereka sebagai tidak berdosa. Tidak berani menggunakan perkataan ‘Maksum’ yang khas bagi para Nabi, mereka mencipta istilah lain, iaitu ‘Mahfuz’. Hakikat dan maksudnya sama iaitu mengangkat guru setaraf dengan Nabi Sallallahu Alahi Wasallam.

Imam Malik bin Anas (wafat: 179H) berkata, “Setiap orang diambil kata-katanya dan ditolak. Kecuali empunya kubur ini (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam)”.

Demikian beberapa ciri-ciri untuk mengenali ahli bidaah dan ajaran menyeleweng. Semoga dengan mengenali sifat-sifat mereka, kita akan lebih berjaga-jaga apabila bertemu dengan kumpulan seperti ini. Mudah-mudahan Allah Taala menyelamatkan akidah dan pegangan kita daripada diperdaya oleh musuh-musuhNya.